Saturday, June 16, 2007

Catatan Pendek Tentang Parit Kuda

TERKEJUT apabila diberitahu bahawa dua beranak mati lemas dibawa arus deras di kampung saya sendiri, Kampung Parit Kuda Sabtu lalu. Mangsa, yang juga seorang ibu, Linda Azura Saliman, 25, saya kenali sejak sekolah apabila allahyarham selalu berulang-alik ke sekolah dengan berbasikal melalui rumah saya di pangkal kampung.

Suami mangsa, Ezuddin Taib yang setahun lebih muda dari saya juga seorang yang begitu baik dan selalu bersama gotong royong di kampung kami.

Anaknya, Muhamad Haikalaimin, yang juga meninggal dunia tidaklah saya kenal karena jarak umurnya yang terlalu jauh dengan saya. Haikalaimin berusia dua tahun. Namun, adalah sesuatu yang biasa bagi anak-anak kampung yang sedikit dewasa dari Haikalaimin untuk berlenggeng tanpa baju, membawa getah penuh pada pergelangan tangan, terkinja-kinja suka sendiri, ke kebun atau belukar mencari apa sahaja, mungkin burung atau belalang. Balik rumah hanya bila senja, atau apabila disengat keran (penyengat)! Sungguh begitu, semua itu, kalau boleh dirahsiakan daripada ibu-bapa...

Haikalaimin, Tuhan lebih kaseh kepadanya, amin.

Malah, saya sangat mengenali bapa Linda, dan kami selalu berbual-bual tentang kebun dan pokok lada, atau pokok pisang ketika bertemu di warong kopi petang-petang. Dia adalah seorang petani kecil-kecilan dan agak marah setiap kali harga kelapa sawit jatuh, walaupun dia tidaklah mempunyai begitu banyak kebun kelapa sawit. Namun, bagi penduduk kampung kami, harga komuniti itu akan menjejaskan seluruh hidup kami.

Hidup keluarga ini sejak dahulu begitu sederhana sekali.

Saya tidak menyangka sama sekali bahawa sungai yang mengalir tenang dan melalui tepi rumah saya itu akhirnya memakan korban, walaupun sejak kecil saya sendiri selalu godak parit (mandi sungai) itu. Tidaklah aneh bagi kami, anak-anak kampung untuk terjun, walaupun saya kira allahyarham Muhamad Haikalaimin tidak begitu, dan beliau khabarnya tergelincir dari jambatan kayu.

Keselamatan jambatan bagi penduduk kampung selalu membimbangkan. Saya beruntung karena rumah saya tidak perlu jambatan karena tidak melintasi sungai tersebut.

Apapun, esok pagi saya sendiri akan melawat keluarga mangsa dan berharap dapat bertemu dengan saudara Ezuddin yang sedang dirundung duka nestapa. Saya juga akan mengambil kesempatan esok untuk melawat keluarga seorang lagi yang berpangkat adik yang meninggal karena kemalangan jalan raya pagi tadi.

Al-fatihah kepada ketiga-tiga mangsa kemalangan yang tiada terduga itu.

Saya akan bertolak dari Kuala Lumpur selepas Subuh, kira-kira jam 6.30 pagi.


Hasmi Hashim
16 Jun 2007, Sabtu

[kembali ke halaman utama]

1 Comments:

Blogger GVS Malaysia said...

This comment has been removed by the author.

6:14 AM  

Post a Comment

<< Home