Friday, June 30, 2006

Apa diharap ‘peluru’ Mahathir

Parti Keadilan Rakyat (keADILan) Bahagian Parit Sulong tidak menafikan akan kehampaan dan rasa terguris kami dengan sikap beberapa pemimpin pembangkang daripada parti rakan seperti PAS dan DAP yang menghantar pimpinan tertinggi ke majlis Dialog Perdana bersama Tun Dr Mahathir Mohammad, 24 Jun lalu. Kehampaan ini bukan di kalangan ahli-ahli KeADILan sahaja, tetapi mulai menjalar sehingga ke ahli-ahli dan penyokong parti pembangkang termasuk PAS dan DAP sekalipun, terutamanya di peringkat bawah dalam kawasan Parlimen Parit Sulong.

Perlu dijelaskan, kami mendapat pengesahan daripada pimpinan tertinggi keADILan bahawa kehadiran Abdul Rahman Othman bukan atas kapasiti sebagai pimpinan keADILan, melainkan keputusan dirinya sendiri. Sebagai parti yang demokratik, kami percaya bahawa keADILan tidak akan menghalang mana-mana pemimpinnya untuk hadir ke majlis tersebut, tetapi yang jelas, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tidak membuat sebarang keputusan untuk menghantar wakil ke majlis tersebut.

Rakyat juga boleh melihat bagaimana tidak ada isu baru dan terperinci yang kononnya hendak didedahkan oleh Mahathir; disamping semua isu yang dibawa Dr Mahathir itu adalah isu yang terpilih dan tidak bersifat sebagai kepentingan rakyat atau negara secara menyeluruh. Sejak mula, apa yang diutarakan Mahathir tersembunyi kepentingan pihak tertentu, atau saki baki kepentingan beliau di dalam kekuasaan atau rejim hari ini.

Bagi kami, mustahil untuk Dr Mahathir untuk memberikan ‘peluru’ kepada mana-mana pemimpin pembangkang untuk menentang Abdullah, atau dalam bahasa lain, mustahil untuk Mahathir memenangkan pembangkang. Sekiranya ada yang berharap begitu, ternyata harapan itu adalah khayal kosong semata-mata. Isu dan maklumat yang dimiliki oleh parti pembangkang selama ini juga sudah cukup untuk menggempur Barisan Nasional (BN) seluruhnya.

Ditegaskan juga, pertemuan dengan Dr Mahathir itu tidak boleh disamakan dengan sikap dan langkah Anwar yang didakwa bertemu dengan Abdullah Badawi. Sekalipun beberapa pemimpin keADILan ada bertemu dan berbincang dengan ‘orang Umno’, tetapi itu sama sekali tidak menjadikan prinsip dan idealisme pimpinan keADILan goyang, rapuh atau bertukar daripada keyakinan untuk tekad membawa perubahan. Kami sangat bimbang seandainya pertemuan pemimpin PAS dan DAP dengan Mahathir itu membuka ruang sangat luas untuk disalahtafsir oleh rakyat terbanyak. Seandainya ini berlaku, siapa kelak yang akan dipertanggungjawabkan?

Namun, kehampaan kami ini tidaklah sampai ke peringkat bahawa seluruh kepercayaaan kami kepada saf pimpinan parti rakan pudar atau luntur, lebih-lebih lagi dengan pimpinan PAS yang dalam Muktamar ke-51 beberapa minggu lalu nampak cukup bersemangat untuk bersama membawa agenda perubahan ke arah negara yang lebih adil dan demokratik. Kami berharap, yang diucapkan di peringkat atas tetap sama sampai ke akar umbi ~ dan inilah apa yang dikatakan sebagai “politik baru” iaitu politik yang tidak bermuka-muka samaada diperingkat pimpinan tertinggi sampailah kepada para penyokong di peringkat bawah.

Kami cukup percaya hubungan keADILan-PAS-DAP sesungguhnya cukup baik terutama di peringkat akar umbi. Komitmen Anwar tidak boleh dinafikan dengan sejak keluar penjara, beliau terus berjuang dan membantu PAS termasuklah dalam Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir (Disember tahun lalu) dan turut berpidato ketika Ceramah Perdana sempena Muktamar PAS yang lalu di Kota Sarang Semut, Kedah Darul Aman.

Kebangkitan Johor

Zailan Abdul Hamid
Ketua Penerangan,
keADILan Bahagian Parit Sulong.

30 Jun 2006 / 3 Jamadil Akhir 1427

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home